Ilmu itu pelita bagi hati agar kita ingat-ingatlah akan mati

Sabtu, 21 Julai 2012

Ramadhan Datang Lagi


Bulan Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirnya adalah kemerdekaan (dilepaskan) dari neraka.
Syukur kita kerana Allah s.w.t masih memberi peluang kepada kita untuk berada di bulan yang penuh kerahmatan ini. Mudah-udahan kita mendapat segala kebaikan yang ada di dalamnya....amin.

Khamis, 4 Ogos 2011

Membina Perisai.

Tazkirah Terawih telah diadakan setiap selepas enam rakaat di Masjid Jamek Daerah Gerik saban tahun. Perkembangan ilmu yang semakin memberangsakan ini menjadikan program ini menjadi suatu kewajiban seiap kali Ramadhan menjelma.
Sebagai ahli jemaah di masjid ini aku agak teruja menantikan tazkirah yang disamapaikan ini. Berbagai maklumat dan peringatan diberikan oleh imam yang bertugas. Aku masih ingat beberapa tahun lalu, apabila pihak masjid mengambil keputusan untuk mengadakan tazkirah ramadhan telah mengundang berbagai pandangan para jemaah. Ada yang menyokong dan tak kurang yang membangkang maklumlah...perkara baru bagi sesetengahnya.
Peringkat awalnya agak sukar untuk mendapatkan para imam atau ustaz bagi mengisi slot selama 5 minit ini. Namun berkat kesungguhan dan keazaman tinggi para AJK untuk memastikan program ini berjalan, kini semakin ramai para ilmuan di bandar kecil ini turun membantu tanpa mengira waktu.Lebih manis lagi kini kuliah selepas solat Asar juga turut diadakan untuk mengisi masa yang terluang rentetan dari permintaan yang tinggi dari para jemaah yang sentiasa dahagakan ilmu.
Sentuhan Ustaz Sobri sewaktu tazkirah semalam benar-benar menyentuh benakku. Pembinaan perisai diri sepanjang Ramadhan dan Ramadhan sebagai bulan penjana perubahan mengetuk sanobariku. Benar katanya sebagai manusia yang mengucap dua kalimah syahadah sepatutnya akan setiasa kental dan maju ke hadapan dalam semua bidang kerana adanya Ramadhan yang menjadi momentum dan sumber ledakan ini. Renungkanlah sejenak kebenarannya. 

Isnin, 25 Julai 2011

Bulan Keampunan

"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan; awalnya adalah RAHMAH, pertengahannya adalah KEAMPUNAN dan akhirnya adalah PEMBEBASAN DARI API NERAKA.” Maksud Hadis

Ramadhan bakal berkunjungi lagi. Apakah perasaan kita ketika ini? Apakah persiapan kita ketika ini?Jika kita tidak ambil peduli dan tidak merasai apa yang sepatutnya, maka kita seharusnya berfikir dan memuhasabah diri agar tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi di dunia dan akhirat.

Jumaat, 22 Oktober 2010

Kemuliaan Tetamu

Ali bin Abi Thalib telah mengungkapkan kata-katanya ketika diminta oleh Rasulullah SAW tentang mangkuk, madu dan sehelai rambut. Ali berkata,“Tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini. Menjamu tamu itu lebih manis dari madu, dan membuat tamu senang sampai kembali pulang ke rumahnya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut.”


Kata-kata Saidina Ali ini mengingatkan kita bertapa tingginya kedudukan seorang tetamu. Kadang-kadang dalam kehidupan ini kita sering kali membezakan para tetamu yang berkunjung ke rumah kita. Jika kedudukan seseorang tamu itu tinggi, berjawatan tinggi dan sebagainya, maka dia akan dilayan dengan begitu baik dan mulia. Sebaliknya jika tetamu itu hanya orang kebanyakan, tidak mulia dalam pandangan masyarakat, maka ia kekadang tidak dimulia dan diraikan seperti seorang tetamu yang sepatutnya. Malahan dipandang jengkel sahaja.

Rasulullah SAW bersabda:"Barang siapa yang beriman pada Allah dan Hari Kemudian, hendaklah ia berkata yang baik atau berdiam. Dan barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, hendaklah ia memuliakan jirannya. Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, hendaklah ia muliakan tamunya,"(Bukhari dan Muslim)
Fikirkanlah....